Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Kerana DUIT

Dua orang rakan saya sedang sibuk mempromosi bisnes terbaru mereka. Kalau tak salah saya, jual minyak wangi. Lebih menarik lagi perniagaan ini melibatkan sistem Multi Level Marketing (MLM), pelan perniagaan yang kini hangat dalam pasaran kita. Malah, telah menarik golongan pakar ekonomi Islam untuk mengkaji lebih dalam tentang halal haramnya.

Itulah tidaklah menghairankan saya. Memang biasa, pendokong MLM akan cuba mencari seberapa banyak jaringan yang bagi menambah pendapatan. Begitulah MLM. Tetapi, saya tertarik (lebih tepat – menyampah) dengan sikap segelintir dari kita yang begitu obses dengan DUIT.

“Baik masuk yang ni!  Yang ni tak macam yang tu. Yang tu ade komisen tinggi. Kena untuk dapat pendapatan sekian sekian, kena belanja sekian sekian.”, seorang daripada mereka cuba mempromosi pakej tersebut kepada beberapa rakan yang lain. Itu perkara biasa.

Namun, bila teringat kepada kata-katanya beberapa hari lalu, jelas, duit mampu merubah manusia. Semuanya kerana duit.

“Saya dah 4 tahun join ni. Saya selalu ikut kursus dia untuk belajar berubat. Di Kelantan, aktivitinya cukup aktif”, beliau seperti berbangga dengan saya. Cukup hebat digambarkan pengalaman beliau bersama syarikat tersebut.

TETAPI, kini beliau memijak pula ‘yang itu’. ‘Yang itu’ lah bisnes yang beliau angkat dan bangga sebelum ini. Namun, apabila ditawarkan pula pakej bisnes lain yang lebih ‘menarik’, sanggup dipijaknya semata-mata untuk naik dan mencari rangkaian! Cukup menggeli hati. Bisnes tersebut dipromosi cukup hebat, tak seperti yang dialami sendiri.

Beberapa rakan bertanya, “Jual minyak wangi je ke?”

“Eh, ni bukan minyak wangi biasa. Dia ada aura. Boleh bagi motivasi, tenang fikiran. Boleh buat duit pulak tu!”, wah begitu hebat sekali. Saya tertanya dalam hati, macam mana dia tahu, sedangkan baru sahaja mendaftar hari sebelum itu. Dia pun belum mencuba produk tersebut.

Jauhi saya dari sikap ini ya Tuhan.

D.U.I.T.

Empat huruf yang cukup bermakna bagi manusia. Tidak semua. Tidak bagi mereka yang cintakan akhirat. Bagaimana cara memanfaatkan DUIT?

D – Doa

U – Usaha

I – Ikhtiar

T – tawakkal

Advertisement

1Malaysia?

masihkan anda ingat kepada slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri?

‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’

hari ini, terbukti slogan yang dilaungkan omong kosong sahaja. seramai lebih 100 ribu rakyat yang berhimpun AMAN di sekitar bandaraya Kuala Lumpur telah diberi hadiah tembakan gas pemedih mata dan water cannon. malah, dijangkakan lebih 500 orang ditangkap kerana terlibat dengan perhimpunan AMAN tersebut.

soal kita, mana bukti slogan tersebut? mengapa himpunan RAKYAT yang mahukan supaya ISA (melibatkan hak rakyat) dimansuhkan, dibalas dengan perkara-perkara zalim tersebut? apakah yang kerajaan takuti dari perhimpunan tersebut?

terbunuh? tiada.

cedera? tiada (kalau ada pun mungkin hasil tangan polis)

kerosakan? tiada.

jadi apa sebab himpunan ini dihalang? kerana bertentangan dengan dasar kerajaan. adakah apa yang kerajaan lakukan tidak pernah bertentangan dengan prinsip keadilan? adakah kerajaan sempurna? adakah rakyat tiada hak untuk bersuara?

fikir-fikirkan..

Mana TAAT?

Ketika saya menulis entry ini, saya sedang memerhati gelagat seorang rakan saya di kelas. Dengan  susunan sebaris misai di bibir, pipi yang cekung kurus, memang tidak manis langsung bagi saya jika ‘dicebik’. Apatah lagi saya tahu, mimik muka itu lahir daripada perasaan tidak puas hati kepada yang tak sepatutnya.

“Tak habis-habis lagi budak-budak ni…”, hati saya berkata sendirian.

Sebentar tadi, saya melintasi sekumpulan penuntut, termasuk rakan saya tadi. Saya tahu, mereka sedang meluahkan rasa tidak puas hati masing-masing terhadap tindakan Penolong Ketua Unit kami. Macam biasa. PKU kami biasa berurusan dengan Pensyarah kami (Ustazah) bagi mengganti kelas yang kadang-kala tak dapat dilaksana mengikut jadual. Saya tahu, beliau bertindak betul. Semuanya atas permintaan ustazah. Beliau juga bertindak betul, kerana itulah peranan beliau sebagai pemimpin kelas. Kami perlu ikut, apatah lagi tidak langsung menyusahkan kehidupan kami di sini.

Kadang kala saya merasa muak  dengan tangan-tangan ini. Tangan-tangan yang mengundi tempoh hari. Bukan semua, tetapi segelintir. Tangan-tangan yang tindakan tangannya sentiasa bekerjasama dengan mulut. Mulut itulah yang mewujudkan rasa tak senang. Apatah lagi secara ‘berjemaah’.

Mungkin inilah yang Nabi sebut:

“Orang mukmin ialah orang yang mensejahterakan mukmin lain dari lidah dan tangannya…”

Dua perkara ini cukup menguji manusia dalam proses interaksi sosial. Peranan buruk lidah dan tangan manusia dalam masyarakat. Itulah yang Nabi ingatkan kita awal-awal lagi. Kerana mulut suami isteri boleh bercerai. Kerana mulut juga dua sahabat boleh berpisah. Dan kerana mulut juga dua kumpulan boleh bergaduh. Lebih parah lagi, kerana mulutlah sebuah jemaah boleh berpecah. Inilah yang kita takuti.

Semoga Allah memelihara lidah dan tangan kita dari perkara yang merosakkan.

lama sudah saya tak ke sini. tiada rezeki mungkin. hikmah mesti dicari. saya memandang situasi dari sudut hikmah.

mungkin antara sebabnya ialah berkurangnya sensitiviti saya terhadap keadaan semasa. saya kesal. saya jarang mencari akhbar, hanya mengharap internet yang selalunya membuat pasal. saya juga jarang berfikir. mulut banyak, otak sedikit. saya perlu keluar dari situasi itu sekarang. saya perlu menulis, bukti saya berfikir.

…………………..

Himpunan Mansuhkan ISA

ISA

ISA 2

anda semua, kita semua perlu hadir! ini bukan isu politik. ini isu kemanusiaan. jika anda manusia, setidaknya berdiri di belakang mereka, bukan mendepani mereka!

maklumat lanjut: himpunanmansuhisa.wordpress.com

Waktu itu saya sedang menunggu pekerja kedai cetak di kampus untuk mengira bahan yang telah saya cetak. Bahan usrah pelajar baru.

Kami di Biro Agama telah sepakat untuk meneruskan strategi tahun lepas bagi mendekati pelajar baru, supaya mereka faham apa itu Deen yang sebenar. Apakah benar mereka memerlukan Deen sebagai bekalan utama. Apakah beza Deen Islam dengan agama lain. Tasawwur ini saya fikir cukup untuk membuat kita rasa bangga bahawa kita sedang berada di zon yang selamat. Zon Islam. Zon sejahtera.

“Ni untuk dakwah ke? Badan dakwah kat sini mantap ke?”, saya disapa oleh seorang lelaki. Umur lebih kurang 30-an.

“Ha’ah, encik. Biro Agama punya. Mantap ke tak?….”, saya sedang cuba menjawab soalan sukar itu. Sukar itu pada bagaiman mahu meletakkan skema ‘Mantap’. Apakah kayu ukur untuk perkataan “mantap” tersebut. Saya bingung.

“Tak mantap pun dak? Saya tengok maksiat berlambak je kat sini”, lelaki tadi memotong kata-kata saya. Bunyinya agak kasar. Tambahan pula dengan riak wajah yang agak kurang senang dipandang, tertama orang macam saya. Secara jujur, saya kurang suka.

Ukuran mantap

Setelah itu, perbualan kami terhenti. Lelaki terbabit membuat panggilan telefon. Entah kepada siapa. Itu bukan urusan saya.

Namun, urusan hati saya masih belum selesai. Jiwa saya masih pada soalannya. Tidak mudah sekali untuk melupakannya.

Saya terfikir, apakah kayu ukuran sebenar tentang “mantap”? Adakah pada USAHAnya, atau HASILnya?

Jika Encik tadi masih bersama saya, teringin benar saya kemukakan soalan ini.

Satu lagi soalan yang mungkin saya TERtanya, “Adakah Encik pernah hadir ke surau untuk melihat usaha kami dalam memperkembangan dakwah ini kepada penuntut? Jujur, saya tidak pernah melihat Encik berjemaah.”. Tapi bunyinya agak kasar ya. Lupakan saja.

Saya yakin, walaupun kami masih belum mencapai tahap ‘mantap’ (mengikut skala USAHA), namun kami sedang menuju ke situ.

Yang paling penting, pendapat saya, ‘mantap’ itu tidak wajar diukur dengan jumlah maksiat dan dosa manusia yang kami seru. Hatta ketika Nabi saw berdakwah di Mekah, juga di Taif, manusia tidak ramai yang menyahut seruan Nabi saw. Adakah dakwah Nabi tidak mantap? Atau hati manusia ini yang masih belum beroleh hidayah?

Nabi Nuh a.s, berdakwah selama 950 tahun, tapi dikatakan hanya seramai 40 orang sahaja yang menerima dakwah baginda. Adakah dakwah Nabi Nuh tidak mantap? Saya berpendapat, tidak. Rujuk al-Quran, Nabi Nuh a.s. berdakwah kepada kaumnya siang dan malam. Berdakwah dan berdakwah. Namun hasilnya? Persoalannya bukan pada hasil. Kerana hasil itu Allah yang menentukan. Wajib kita adalah usaha.

Terima kasih Encik

Terima kasih kepada Encik yang bertanya. Walaupun Encik tidak membaca blog saya, namun Encik telah membuka mata saya untuk bermuhasabah, sejauh mana usaha saya untuk dakwah. Ya, usaha, bukan hasil. Perjalan saya masih jauh. Lebih-lebih lagi mungkin akan lahir seribu lagi ‘Encik’ di sekeliling saya. Orang yang hanya tahu memandang serong usaha dakwah orang lain, tanpa merenung dirinya, apatah lagi memberi SOKONGAN.

Jika anda mahu menjadi seperti ‘Encik’, maka nasihat saya, sebelum kita ‘mengguris’ hati Daie yang sedang cuba menafkahkan dirinya pada jalan Allah, doronglah mereka dahulu. Dorong juga diri anda.

Setelah siap mencetak bahan, saya keluar mencapai beg dan beberapa buah buku rujukan. Saya terlihat salah satu buku yang saya bawa, ‘Teks Usrah’, susunan Ustaz Idris Ahmad. Oh, mungkin inilah sebab Encik tadi begitu ‘cemburukan’ saya!